Followers

Tuesday, November 16, 2010

Disebalik Sebuah Pengorbanan

“Mmm… cinta! Menurutku, Sekalipun cinta telah kuhuraikan dan kujelaskan panjang lebar. Namun jika cinta kudatangi aku jadi malu pada keteranganku sendiri. Meskipun lidahku telah mampu menguraikan dengan terang. Namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang Sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya. Kata-kata pecah berkeping-keping begitu sampai kepada cinta. Dalam menguraikan cinta, akal terbaring tak berdaya Bagaikan keldai terbaring dalam lumpur. Cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan!”






assalamualaikum dan SALAM EIDULADHA....
Bersyukur ke hadrat Allat swt kerana kita masih diberikan kesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini,InsyaAllah....Alhamdulillah kerana diberikan kesempatan untuk terus bertebaran di muka bumi ini,ambillah iktibar daripada peristiwa-pertistiwa insan yang terlebih dahulu meninggalkan kita. Semoga hati-hati kita sentiasa bersedia untuk menyusul mereka kelak. Rehat yang pasti di alam kubur sana.


oh ya,pasti ramai yang dah dapat meneka mainan bahasa yang teramat indah yang diungkap diatas.Mana mungkin tidak,ianya salah satu daripada dialog Ana Althafunnisa' ,dalam filem Ketika Cinta Bertasbih.


Sempena 10zulhijjah yang bakal menjelma (Insyaallah esok mengikut waktu Malaysia), marilah sama-sama saya ingin mengajak sahabat-sahabat semua mengambil iktibar atas KETAQWAAN dan KETAATAN serta tingginya nilai PENGORBANAN Nabi Ibrahim kekasih Allah dalam diari hidupnya.Tatkala melihat betapa indahnya cinta Nabi Ibrahim yang disulami penyaksian dan pembuktian, saya rasakan cinta kita bagaikan kata-kata mainan anak kecil.Sebab, apa makna cinta tanpa pembuktian?


mari sama-sama kita telusuri.....


Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan,berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpu dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik.                ( 3 : 14 )

Sahabat, apa perasaan anda jika sudah berpuluh tahun hidup bersama isteri kesayangan tetapi tidak dikurniakan anak? bukankah naluri seorang manusia itu inginkan anak? Zuriat menyambung keturunan hasil perkongsian hidup bersama insan kesayangan. Apatah lagi seorang nabi. Jika tiada anak, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyambung perjuangan menegakkan KALAM ALLAH atas muka bumi ini? Sedangkan masyarakat sekeliling waktu itu adalah masyarakat yang ingkar menerima Allah sebagai tuhan. Apakah tidak pilu nabi memikirkan perjuangan dan pengorbanan selama ini akan terhenti di saat kematiannya?


......................................


Bahagianya, akhirnya Allah membuktikan betapa Rahimnya DIA dengan mengurniakan seorang anak kepada nabi setelah satu penantian yang cukup lama dan menyeksakan. Betapa asyiknya rasa bila impian yang satu itu menjadi kenyataan. betapa jika itu kita, sudah pastu sujud syukurnya sangat lama penuh linangan air mata. Pasti kita berjanji, anak itu akan dijaga dan dididik sebaik mungkin.
Tapi, apakan daya, bila muncul cinta yang baru, cinta yang satu itu sekali lagi diuji. Anak yang masih kecil itu perlu dikorbankan, membuktikan cintanya dahulu tidak tergugat dengan kehadiran cinta baru.  Maka anak kecil dan ibunya Hajar terpaksa ditinggalkan di padang pasir gersang. Yang siangnya panas, terik dan kontang. Malamnya gelap-gelita. Sejuk membeku ke sum-sum tulang. Sunyi sepi, hanya ditemani hembusan angin malam. Tak ubah seperti meletakkan anak dan isteri kecintaan di pintu maut penuh derita. Sedangkan kita, jika penerbangan tertunda sehari sahaja sudah berpuluh voice mail bakal diterima dari ayah. Padahal tempat itu lengkap makanan dan selesa. Begitulah naluri seorang ayah(pengalaman sendiri).Tidak mungkin sama sekali membiarkan anaknya dalam bahaya. Tidakkah naluri itu dimiliki setiap ayah termasuk nabi ibrahim? Perasaan apakah yang menguasai nabi sehingga dapat mengatasi kasihnya seorang ayah pada anak tunggalnya itu?


...................................


Keimanan dan tawakal yang tingginya pada Allah ternyata tidak pernah disia-siakan Allah. Baginda akhirnya dipertemukan semula dengan anak yang pernah ditinggalkan satu ketika dahulu. Jejak kasih yang sangat syahdu dan bahagia.
Ya Allah, tidak cukupkah bukti yang ditunjukkan nabi selama ini bahawa benarlah hanya ENGKAU cinta dalam hatinya, dalam hidupnya, dalam setiap hembus nafasnya? Apakah perlu ENGKAU arahkan mereka melakukan sesuatu yang diluar batas fikiran manusia?
Ujian kali ini bukan calang-calang. Seorang ayah, jika melihat anaknya bermain dengan pisau sahaja sudah pasti dimarahi. Tapi ayah ini, dia diarahkan untuk meletakkan sendiri bilah pisau di leher anaknya. Anak yang diperoleh setelah bertahun-tahun hidup tanpa zuriat. Anak yang dahulu diarahkan ditinggal di gerbang kematian. Anak yang menjadi harapan untuk meneruskan perjuangan. Mengapa ya Allah, anak yang satu ini juga pinta dikorbankan, disembelih dan dibunuh?


Apabila sampai ke tempat penyembelihan maka Nabi Ibrahim AS telah menyembelih Nabi ismail AS. Diriwayatkan pisau telahpun mencecah batang leher Ismail AS dan  Allah maha kuasa yamh hanya sekadar menguji kepatuhan hambaNya telah menggantikannya dengan seekor qibas. Ini adalah hadiah bagi orang yang yakin dengan perintah Allah, yakin bahawa disebalik perintah Allah yang cukup berat itu tersimpan sebuah hikmah dan nikmat yang cukup besar. Keyakinan ini hanya dapat dirasai oleh orang yang keimanannya padu kepada Allah SWT. Maka ibadah qurban yang kita lakukan pada hari ini adalah satu latihan untuk memupuk keimanan sejati dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah SWT. Ia adalah satu bentuk persediaan untuk melahirkan sifat 'komando', iaitu bersiap sedia untuk menjalankan perintah Allah dalam segenap situasi. Apabila datang perintah Allah untuk infaq maka tanpa tangguh-tangguh lagi kita akan melaksanakannya...


sahabat-sahabat,
mungkin sudah menghafal kisah Nabi Ibrahim diatas tapi saya menulis lagi untuk sama-sama kita menghayati bukan sekadar membaca dan menghafal kisah agung tersebut..dan,dari kisah pengorbanan luar biasa itu, maka lahirlah kini sambutan HARI RAYA EIDUL ADHA. Jadilah peristiwa bersejarah ini puncak pengorbanan tanda terbuktinya cinta nabi tidak lain dan tidak bukan hanya pada Allah yang Esa. Dan betapa bahagianya baginda, cintanya berbalas. Ujian-ujian yang dilaluinya terbukti mendapat setinggi-tinggi pengiktirafan dari Allah dengan dinukilkan dalam KALAM SUCI yang kekal sepanjang zaman.

Dan ingatlah, ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimat, lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Dia berfirman, sesungguhnya AKU menjadikan engkau sebagai pemimpin bagi seluruh manusia……..                 (2 : 124 )
Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedangkan dia mengerjakan kebaikan dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim menjadi kesayangan(NYA)    ( 4 : 125)
Wahai sahabat-sahabatku, nabi Ibrahim sudah membuktikan ketulusan cinta baginda sehingga dirinya menjadi kesayangan Allah.Sudahkah kita berbuat demikian? Semoga kita sama-sama dapat menghayati ruh pengorbanan dan pembuktian cinta yang dipamerkan nabi kesayangan kita, nabi Ibrahim alaihissalam pada kesempatan eidul adha kali ini. Dan semoga ruh itu senantiasa segar membasahi setiap sel dari badan kita.

“Dan diantara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata, dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hambanya.” (Surah al-Baqarah: 207)



SALAM EIDULADHA DAN SALAM PENGORBANAN


(AYAT AL-QURAN DIPETIK DARI QURANIC VERSES ONLINE)

2 comments:

  1. Menarik....
    lme nti x mnulis kt blog nih...

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete